Friday, February 27, 2009

Lembu dan LPT

1. Utusan Malaysia terbitan 24 Februari 2009 dalam forum khasnya menyiarkan satu muka penuh isu berkaitan lembu yang sering kali memasuki LPT.

2. Kebanyakan pihak yang ditemui menyalahkan pihak konsesi yang dikatakan tidak membuat pemantauan dengan baik atau tidak menyelenggara pagar lebuhraya menyebabkan lebu-lembu yang memasuki kawasan lebuhraya mengancam keselamatan dan nyawa pengguna lebuhraya jika terlanggar atau dirempuh oleh kenderaan terutamanya pada waktu malam, di mana cuaca pula sering berkabus.

3. Sebagai pengguna yang selalu melalui LPT, saya berpendapat bahawa pihak konsesi tidak seharusnya dipersalahkan semata-mata. Kita perlu melihat dari sudut yang berbeza dan sepatutnya lihat kepada punca permasalahan.

4. Punca utama adalah lembu, bukannya pagar lebuhraya ataupun pihak konsesi. Keseluruhan lebuhraya juga telah dipagar. Apabila memperkatakan tentang lembu, mesti ada pemilik lembu. Lembu mungkin diternak atau mungkin juga dibiar lepas berkeliaran di ladang kelapa sawit yang berhampiran lebuhraya.

5. Punca masalahnya berlaku apabila terdapat di kalangan penternak atau pemilik lembu yang tidak bertanggungjawab sengaja memotong dawai pagar untuk membolehkan lembu-lembu mereka memakan rumput yang subur di sepanjang lereng bukit di tepi lebuhraya, tetapi pihak konsesi juga yang dipersalahkan kononnya tidak menyelenggara pagar.

6. Jika kita renungi, lebuhraya lain yang terbuka seperti Lebuhraya KL-Karak tidak pula kedengaran sebarang kes pencerobohan atau ternakan yang melintas, kerana di sini tiada pihak yang menternak lembu ataupun melakukan kerja-kerja yang tidak bertanggungjawab.

7. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, selain tindakan pihak konsesi sendiri, agensi penguatkuasaan lain seperti polis, Majlis Daerah dan Jabatan Veterinar perlu memainkan peranan masing-masing. Mungkin undang-undang berkaitan dengan kecuaian perternak perlu diwujudkan jika masih belum ada.

8. Peranan ketua komuniti seperti Pengerusi JKKK, Imam, Ketua Blok atau Pengurus Felda yang berkaitan juga perlu untuk menyedarkan masyarakat tentang perlunya menjaga ternakan mereka dan kesannya kepada pihak lain jika mereka cuai.

9. Kalau dulu-dulu di kampung saya, usahkan hendak meminta kerjasama JKKK, malah lembu-lembu subsidi yang diterima oleh merekalah yang juga kadangkala memenuhi jalanraya pada waktu malam dan awal pagi.

10. Kalau tabiat semacam ini masih ada di dalam masyarakat hari ini, maka JKKK dan pemilik lembu itu sama sahaja akalnya dengan lembu-lembu mereka.

New World Record

1. Masa dirasakan amat pantas berlalu. Sambil mengikuti perkembangan politik tanahair, rupa-rupanya sudah 2 minggu saya tidak menulis di rungan ini.

2. Daripada pengamatan saya, semenjak BN menerajui Perak dengan sokongan YB Lompat, pelbagai peristiwa yang tidak dijangka telah berlaku. Sudah bermacam-macam laporan polis telah dibuat terhadap pihak lawan sama ada oleh pihak BN ataupun PR.

3. Saya sendiri pun tidak berapa pasti. Adakah semua masalah perlu diadukan pada polis? Adakah polis mempunyai kuasa tanpa batasan?

4. Setakat ini lebih seratus laporan polis telah dibuat oleh Pemuda UMNO berikutan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, sedangkan belum ada tanda-tanda bila Karpal Singh akan menfailkan samannya.

5. Dengan sedikit gertakan, semua menjadi kecoh. Sedangkan Karpal Singh bercakap berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Undang-undang yang ada pun digubal oleh kerajaan BN, bukannya digubal oleh Karpal Singh. Siapa yang salah dalam soal ini? Kenapa BN menggubal undang-undang yang akhirnya memakan diri. Itu yang patut diteliti.

6. Ekoran laporan polis yang terlalu banyak, Karpal Singh telah menyelar pemuda UMNO dalam Dewan Rakyat dengan menggelarkan CELAKA! Maka sangatlah marah Pemuda UMNO dan ada di kalangan mereka yang tidak sabar dan membelakangkan undang-undang cuba mengugut dan melakukan kekerasan terhadap Karpal Singh. Tindakan sebegini sekali lagi boleh menjerat leher sendiri.

7. Belum pun habis isu Karpal yang mahu menyaman Sultan Perak, laporan polis dibuat juga terhadap Speaker DUN Perak kerana menggantung MB Perak yang baru bersama-sama dengan 6 Adun lain daripada menghadiri sidang DUN.

8. Saya percaya selepas ini akan ada bermacam-macam lagi laporan polis yang akan dibuat oleh pihak tertentu.

9. Di tempat saya bekerja pun telah ada kakitangan yang membuat laporan polis semata-mata disebabkan adanya aduan terhadap beliau yang dikatakan tidak mematuhi peraturan dan arahan pihak syarikat.

10. Mungkin selepas ini kita boleh mencalonkan Malaysia dalam Guinness World Record untuk kategori laporan polis paling banyak di dunia.

Friday, February 13, 2009

Kaitan Pemilihan UMNO Dengan Pilihan Raya Kecil

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau akan diadakan serentak, iaitu 29 Mac 2009 sebagai hari penamaan calon dan 7 April 2009 hari pengundian.

2. Penetapan dan pengumuman tarikh pilihan raya kecil yang masih jauh jelas menunjukkan SPR cuba memberi ruang kepada Perhimpunan Agung UMNO dan juga pemilihan yang dijangka diadakan pada pertengahan Mac depan.

3. UMNO mungkin mengharapkan mereka akan pulih sepenuhnya setelah berlaku perubahan pucuk pimpinan, seterusnya mempengaruhi sokongan rakyat terutama di kalangan pengundi Melayu, walaupun kalangan yang terpilih nanti masih juga dipersoalkan kredibiliti mereka.

4. Tapi UMNO mungkin lupa, pilihan raya selepas pemilihan juga boleh menjadi faktor dan punca kekalahan kepada UMNO jika terdapat di kalangan mereka yang kalah cuba berpaling tadah.

5. Tindakan sebegini bukanlah mengejutkan kerana itulah yang menjadi amalan kebanyakan pemimpin dan penyokong UMNO sekarang. Mereka mencari jawatan untuk mendapatkan kekayaan. Dengan kekayaan mereka mencari jawatan dan kuasa. Akhirnya UMNO kalah disebabkan orang UMNO sendiri.

Wednesday, February 11, 2009

Menunggu Gelanggang Dibuka



1. Ekoran perletakan jawatan Adun Bukit Selambau, Kedah pada 9 Februari 2009 yang lalu, beberapa parti politik mula menyenaraikan calon masing-masing.

2. UMNO yang baru mengambil alih kerajaan negeri Perak beberapa hari yang lalu mula terasa pulih setelah mengalami 2 kekalahan dalam pilihanraya kecil sebelum ini. UMNO mula bercita-cita untuk mengambil balik kerusi DUN berkenaan setelah diberikan kepada MIC selama 4 penggal.

3. MIC difahamkan tetap mahukan calon di kalangan mereka untuk mewakili suara kaum India di DUN Kedah. Berdasarkan bilangan pengundi pada pilihanraya umum lepas, komposisi pengundi India di DUN tersebut sebanyak 29.5% adalah yang kedua tertinggi selepas kaum Melayu, menunjukkan pengundi India bukanlah kaum minoriti di DUN tersebut.

4. Berdasarkan fakta di atas, UMNO tidak seharusnya mengenepikan peranan kaum India dan seharusnya memberi peluang kepada MIC. UMNO harus ingat, komposisi pengundi Melayu yang melebihi 50% tidak boleh menjadi ukuran kemenangan kepada calon UMNO jika dilihat kepada keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

5. Di kalangan parti Pakatan Rakyat, DAP dan PKR juga dikatakan berminat untuk meletakkan calon masing-masing. DAP yang sedang hangat dengan isu di Perak dan pemimpinnya yang celupar mungkin gagal untuk mendapatkan sokongan Melayu dan pengundi Cina pula adalah kaum minoriti.

6. PKR dijangka akan meletakkan calonnya di kalangan India memandangkan kerusi DUN tersebut sememangnya milik PKR sebelum ini. Faktor komposisi kaum juga perlu diambil pertimbangan. Isu-isu semasa yang melibatkan kaum India seperti isu Hindraf yang masih belum reda, di mana permohonan 5 pemimpin Hindraf yang di tahan ISA gagal untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membebaskan mereka. Selain itu, isu Kugan - pemuda India yang mati di lokap polis serta isu-isu dalaman MIC akan terus menjadi modal bagi mendapatkan sokongan.

7. Sama ada BN atau PR, masing-masing ada peluang. Pertandingan dijangka sengit dan lebih menarik jika hanya 2 penjuru sahaja. Untuk kepastian, kita akan lihat setelah SPR membuat pengumuman dan gelanggang telah dibuka.

8. Yang pasti, BN kalah atau menang, PR masih mempunyai majoriti di DUN Kedah.

Bantuan Kemanusiaan Sejagat

1. Semenjak serangan demi serangan dan keganasan melampau tentera Yahudi ke atas rakyat Palestin 2 bulan yang lalu, pelbagai pihak sama ada kerajaan atau pembangkang, NGO, Jabatan-jabatan, Syarikat Korporat, Media, Sekolah dan sebagainya telah menganjurkan pelbagai tabung bagi membantu rakyat Palestin.

2. Daripada pengumuman pihak-pihak yang menganjurkan kutipan, kalau dikumpulkan mungkin telah berpuluh atau ratus juta telah diperolehi. Rakyat Malaysia memang dikenali sebagai rakyat yang pemurah dan suka membantu.

3. Di samping tabung kemanusiaan untuk rakyat Palestin, jangan pula kita lupa terhadap kemiskinan dan kesengsaraan rakyat di negara kita, walaupun setelah lebih 50 tahun merdeka. Saban minggu ada sahaja yang tersiar dalam rancangan Bersamamu di TV3. itu yang dah masuk TV. Di luar sana mungkin ada beribu lagi yang terlepas pandang. Apa peranan JKKK dan YB yang dipilih oleh rakyat. Jangan hanya mengira kantung sendiri, tapi lupa kepada rakyat yang menghajati.

4. Tujuan dan penganjuran kutipan derma atau sumbangan adalah suatu langkah yang mulia. Walau bagaimanapun, penyumbang hendaklah ikhlas, bukan ingin mencari nama atau populariti. Penganjur pula perlulah amanah. Jangan jadi seperti kisah-kisah sebelum ini. Banyak sumbangan diperolehi daripada orang ramai, tetapi duitnya entah ke mana.

5. Masih saya ingat, selepas tragedi Thunami pada penghujung tahun 2004, pelbagai pihak mula membuat kutipan derma, tetapi setelah setahun berlalu, mangsa mengadu masih belum mendapat bantuan, sedangkan rumah panjang yang didiami pun dah nak hampir roboh.

6. Itu belum lagi dikira penyelewengan lain. Sudah bermacam kita dengar. Wang zakat JAWI, wang PPRT, Amanah Ikhtiar, Yayasan Tekun dan sebagainya.

7. Semoga apa yang telah kita sumbangkan diberkati dan tiada lagi pencuri......

Monday, February 9, 2009

Raja dan Demokrasi

1. Sejak sekian lama Raja-Raja Melayu dan Institusi Kesultanan di Malaysia berfungsi sebagai payung kepada rakyat dan berperanan menstabilkan keamanan dan keharmonian di dalam negeri masing-masing.

2. Sesuai dengan fungsinya sebagai payung rakyat, raja-raja dengan kebijaksanaan mereka sentiasa mengambilkira kesejahteraan rakyat keseluruhannya dalam membuat sebarang keputusan tanpa memihak kepada mana-mana golongan atau parti politik.

3. Kebiksanaan dan kuasa yang diberikan kepada raja-raja membenarkan seorang raja atau sultan memilih seorang di kalangan ADUN daripada parti atau gabungan parti yang memenangi pilihanraya yang difikirkannya layak untuk menerajui kerajaan yang dikenali dengan Menteri Besar.

4. Walaupun kuasa melantik MB adalah dengan pilihan dan perkenan raja atau sultan, tetapi kuasa yang menentukan parti yang akan memerintah adalah di tangan rakyat melalui undi di dalam pilihanraya umum atau negeri.

5. Kerajaan yang telah dibentuk melalui majoriti mutlak atau majoriti mudah dan telah mempunyai MB serta Exco yang telah dilantik hanya boleh dijatuhkan sekiranya DUN dibubarkan atau melalui undi tidak percaya terhadap MB atau parti yang memerintah di dalam sesi persidangan DUN.

6. Dalam situasi selepas pilihanraya umum 2008, Sultan perak dilihat bijaksana dalam membuat pilihan dan keputusan melantik MB di kalangan Adun parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat dengan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

7. Manakala dalam pergolakan politik yang berlaku di Perak sejak awal Februari 2009, Sultan mempunyai pilihan samada memperkenankan permohonan MB untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya negeri atau mengekalkan kerajaan PR sehingga sidang DUN yang akan datang dan undi tidak percaya boleh diusulkan terhadap kerajaan PR jika BN merasakan mereka boleh mendapat sokongan majoriti.

8. Walau bagaimanapun, sultan telah membuat keputusan menitahkan supaya MB dan Exco daripada parti yang memerintah (PR) meletakkan jawatan dan menggantikannnya dengan kerajaan daripada parti lawan (BN). Keputusan ini mungkin bijaksana tetapi mungkin kurang tepat, kerana sultan dilihat seolah-olah mengambil alih peranan dan fungsi DUN yang telah dipilih oleh rakyat.


9. Keputusan ini juga dilihat seolah-olah memihak kepada satu parti sahaja, tambahan pula BN sememangnya telah lama berusaha untuk menjatuhkan kerajaan PR melalui apa jua cara.

10. Apakah persetujuan lisan tiga orang Adun yang dipertikaikan kredibiliti dan moral telah menjadi asas dan ukuran kehendak rakyat keseluruhannya? Pada hemat saya, rakyat lebih bersetuju jika proses pemilihan dan pertukaran kerajaan diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihanraya negeri.

11. Jika sultan mengambil keputusan membubarkan DUN dan ditakdirkan PR kalah, maka terbukti sememangnya BN telah kuat dan mendapat sokongan rakyat. Maka BN akan mendapat kuasa melalui proses demokrasi yang betul dan memerintah dengan majoriti yang lebih selesa. Begitulah sebaliknya jika PR masih mengekalkan majoriti.

12. Dan jika itu keputusannya, mungkin tiada demonstrasi jalanan, sultan terus dihormati sebagai sultan yang bijaksana, terus dijunjung di atas singgahsana, tiada sembah derhaka atau cuba menyaman seperti rakyat biasa. Maka negeri akan kekal sejahtera.

Thursday, February 5, 2009

Kisah Babi dan Kerajaan

Babi, binatang yang diharamkan Tuhan
Sebut nama ramai yang dah segan
Tak kira melayu pembangkang atau kerajaan
Termasuk melayu yang teguk air syaitan

Banyak kisah babi dan kerajaan
Kisah bermula di Negeri Sembilan
Penyakit JE dan bermacam-macam
Angkara penternak babi haram

Kisah kedua di Melaka Bersejarah
Dulu terkenal negeri Hang Tuah
Najis babi merata sungai dan lurah
Derita 50 tahun, kerajaan tak kisah

Kisah sekarang di negeri Pahang
JKKK dan YB terlepas pandang
Najis babi di jumpa di sungai dan longkang
Takkan nak tunggu kerajaan pembangkang

Negeri pembangkang tak terlepas kisah
Heboh di Selangor juga di Kedah
Cadangkan cara ternak yang tak menyusah
Tapi ramai yang keluh resah

Kisah babi tak pernah sudah
penternak dijaga rakyat pula susah
jika kerajaan ambil mudah
Ayuh fikirkanlah sebelum memangkah

Politik Cari Makan

Ada bermacam politik sekarang
Ada politik jenis cari makan
Sesama kawan tikam belakang
Nak memenangi ketua bahagian

Yang kalah ketua bahagian
Tak dapat pula tender kerajaan
Merajuk sakan masuk Pakatan
Mula bercakap pasal perjuangan

Bertanding tiket parti Keadilan
Rakyat menyokong hingga menang
Sudah memerintah sebelas bulan
Masih makan umpan Barisan

Entah ke mana mereka menghilang
Mesyuarat Exco pun tak datang
Keluarkan surat letak jawatan
Barulah keluar dari persembunyian

Mungkin sudah dapat habuan
Tingalkan perjuangan tinggalkan Pakatan
Rakyat pengundi dibiar tercengang
Asalkan diri sudah kenyang

Menyokong pula parti Barisan
Mulalah pasang angan-angan
Nak jadi Menteri Kanan
Mungkin juga tiada yang layan

Itulah politik cari makan
Tidak kira halal haram
Teruskanlah semua pejuang dan rakan
Jangan ikut bersama yang karam

Antara Angan Dan Sedar

1. Retetan ribut yang semakin kencang di negeri Perak, maka 1 Adun DAP dan 3 Adun PKR termasuk Adun Bota telah keluar dari PKR menyebabkan kerajaan PR hilang majoriti.

2. TPM yang baru beberapa hari jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Perak senyum lebar umumkan untuk menubuhkan semula kerajaan BN di negeri Perak.

3. Hilang sudah gundah di KT dan Bota, tiada lagi suara-suara untuk menggubalkan akta, majoriti sudah di depan mata, tunggu masa nak sembah raja, masing-masing berangan nak jadi MB semula.

4. Antara angan dan sedar, 1 Adun seperti dikata, bagai lalang ditiup angin merata, 2 lagi ada tuduhan rasuah, dalam UMNO mahupun PKR tak pernah puas, hanya memuaskan nafsu serakah. Maka jadilah parti yang rasuah.

Wednesday, February 4, 2009

Lalang Ditiup Angin

1. Hari ini 04 Februari 2009, Adun Bota yang baru 10 hari mengistiharkan diri masuk PKR telah kembali kepada UMNO.

2. Apakah motif sebenar beliau masuk PKR? Atau sekadar untuk meraih simpati dan sokongan pemimpin atasan UMNO! Maklumlah, sesi pemilihan UMNO akan bermula sebulan lagi.

3. Mungkin hari ini beliau telah berjaya mendapat sokongan yang diperlukan. Maklumlah, beberapa hari yang lalu, para penyokong di DUN Bota sampai mengadakan demontrasi untuk menghantar memorandum memujuk beliau.

4. Itu sokongan rakyat bawahan. Mungkin lain caranya sokongan pemimpin atasan. Tambahan pula TPM pun dah jadi Ketua Perhubungan Negeri Perak. Ini pun disebabkan Adun Bota yang melompat. TPM pula dah nak jadi PM bulan Mac depan. Ada harapanlah jadi orang kanan agaknya.

5. Maka jadilah pemimpin itu macam lalang, sembah mana yang boleh bagi makan. Asal perut sendiri kenyang.


Lompat Melompat

1. 10 hari yang lalu, tiba-tiba seorang Adun dari BN mengistiharkan diri untuk meninggalkan BN dan bersama dengan PKR.

2. Retetan dari itu, menteri-menteri dan para pemimpin BN mula bercakap-cakap untuk menggubal undang-undang atau Akta Anti Lompat.

3. Kisah lompat-melompat sebenarnya telah lama berlaku, dan kebanyakan kes melibatkan Adun atau MP dari parti pambangkang melompat ke BN.

4. Maka sebelum ini tidak pernah timbul isu untuk menggubal Akta Anti Lompat kerana kebanyakan lompatan menguntungkan BN.

5. Apa yang pasti, seorang MP dari Kelantan masih lagi kekal juara lompat-melompat.

Salam Pengenalan

1. Salam sejahtera dan selamat melayari blog Ibnu Majidi. Saya sebenarnya bukanlah penulis yang hebat atau berpengalaman kerana latarbelakang pendidikan dan pekerjaan saya tiada kaitan dengan bidang penulisan. Cuma minat dan keinginan pernah wujud sejak dibangku sekolah, tetapi tidak kesampaian disebabkan pelbagai kekangan termasuk kemahiran IT yang kurang.

2. Walau bagaimanapun, dikesempatan yang ada, saya akan cuba mengulas pelbagai isu semasa di dalam dan luar negeri untuk direnungi dan difikirkan bersama. Segala nukilan yang diterbitkan adalah berdasarkan pengalaman saya melalui pembacaan dan pergaulan harian dengan pelbagai bangsa, budaya dan masyarakat setempat.

3. Artikel yang diterbitkan tidak bertujuan untuk menghasut atau menunjukkan kecenderongan atau menyokong mana-mana pihak. Semoga apa yang baik dapat dijadikan pengajaran dan yang buruk dijadikan sempadan. Itulah yang sebaik-baiknya bagi manusia yang berakal dan berfikir.