Monday, March 23, 2009

Pemilihan UMNO 2009

1. Pemilihan Umno yang akan bermula esok (24 Mac 2009) dikatakan menjadi tumpuan dan menarik perhatian umum sama ada di kalangan ahli Umno atau bukan ahli yang menjadi pemerhati politik.

2. Di kalangan ahli Umno, mereka amat mengharapkan tokoh-tokoh yang mampu memberi habuan kepada mereka mampu memenangi pemilihan dan menerajui parti. Maka ada harapanlah untuk mereka mendapat projek dan mengumpulkan kekayaan dengan mudah.

3. Setelah beberapa calon jawatan tertinggi dikenakan sekatan untuk bertanding akibat rasuah, ramai pemerhati percaya bahawa masih ramai di kalangan calon dan tokoh yang layak itu tidak bersih dari segi moralnya sama ada terlibat dengan rasuah wang atau jenayah seks tetapi terlepas hukuman ataupun pendakwaan.

4. Mereka yang terlepas hukuman dan pendakwaan ini bakal memenangi jawatan tertinggi dalam pemilihan yang akan dilangsungkan dan bakal menerajui negara.

5. Manakala mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan politik wang atau rasuah masih lagi kekal memegang jawatan penting kerajaan tanpa rasa bersalah atau bertanggungjawab di atas pertuduhan dan hukuman, sedangkan rasuah adalah kesalahan negara dan jika didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah, boleh dikenakan hukuman yang berat dan dilucutkan jawatan.

6. Daripada pengamatan saya terhadap apa yang telah dan akan berlaku, tiada harapan baru yang boleh disandarkan terhadap pemimpin Umno sekarang atau yang akan memenangi pemilihan yang akan datang.

7. Umum telah melihat bahawa Umno adalah parti rasuah. Ahli-ahli dan pemimpinnya terlibat dengan rasuah. Mereka yang memimpin sekarang adalah pemimpin yang pernah rasuah. Pemimpin yang akan memenangi jawatan juga dikaitkan dengan rasuah.

8. Suatu masa, mungkin Umno akan terkubur sendiri setelah rakyat semakin muak dengan amalan rasuah dalam Umno.

Politik Wang = Rasuah = Barah Umno = Dosa Besar

1. Sebelum ini dilaporkan bahawa lebih 900 aduan telah diterima oleh Lembaga Disiplin Umno mengenai amalan politik wang (rasuah) membabitkan tokoh-tokoh yang akan akan bertanding dalam pemilihan yang akan bermula 24 Mac 2009.

2. Daripada jumlah itu, hanya 29 kes yang telah disiasat, manakala hanya 15 kes yang disabitkan dengan kesalahan.

3. Saya tidak pasti kenapa hanya 29 kes yang disiasat? Apakah kes-kes lain tidak perlu disiasat atau pun terlampau banyak aduan yang diterima menyebabkan Lembaga Disiplin tidak sempat untuk menyiasat kesemua aduan.

4. Jika diambilkira daripada 15 kes yang didapati bersalah, setelah 29 kes yang disiasat, maka secara kasar kita dapati lebih 50 peratus aduan adalah benar. Jika peratusan ini diambilkira, maka sangatlah parah penyakit yang telah menjadi barah di dalam Umno.

5. Kita tidak perlu bahaskan bila penyakit rasuah di dalam Umno ini bermula, samada ada pada zaman Tun Mahathir atau zaman selepasnya atau telah lama sebelum zamannya lagi.

6. Sebelum inipun, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno sendiri pernah mencadangkan supaya sayap-sayap Umno seperti Putera dan Puteri dibubarkan untuk mengurangkan wabak yang semakin menular terutama di kalangan tokoh muda yang tidak sabar dan bernafsu tinggi.

7. A. Kadir Jasin dalam blognya pula menyatakan bahawa sekumpulan cendekiawan Melayu menyarankan supaya mengkhinzirkan amalan rasuah atau politik wang dengan alasan orang Melayu selalunya jijik dan akan menjauhi perkara yang ada kaitan dengan khinzir.

8. Pada pendapat saya, punca sebenar berlakunya amalan politik wang atau dengan lebih jelas amalan rasuah, apabila individu di dalam organisasi itu tidak lagi berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka telah lupa halal haram, dosa pahala, syurga neraka. Mereka ini tidak lagi ikhlas berjuang untuk membela bangsa dan agama, tetapi hanya mementingkan kekuasaan dan kekayaan semata-mata.

9. Jika dibabikan sekalipun, politik wang itu tetap menjadi barah dan meresap di dalam darah daging mereka.

10. Hanya keimanan dan ketakwaan yang mampu mengubat penyakit ini. Apakah pemimpin Umno tergolong di kalangan mereka yang menyeru kepada keimanan dan ketakwaan? Wallahu'alam.

Sunday, March 1, 2009

Siapa Penderhaka Sebenar?

1. Hampir sebulan yang lalu kecoh di negeri Perak apabila MB pada ketika itu, Mohammad Nizar memohon untuk sembah derhaka. Sedangkan maksud sebenar sembah derhaka adalah pertuturan rasmi dengan pihak istana jika seorang MB mempunyai pandangan lain terhadap titah sultan. Beberapa hari kemudian, Karpal Singh dikatakan derhaka kerana ingin menyaman Sultan. Pagi tadi (01 Mac 2009), Pemuda Umno dan BN mendesak supaya dikenakan tindakan ke atas seorang exco negeri Kedah yang didakwa menghina sultan, sedangkan belum terbukti dakwaan itu.

2. Untuk kita lebih jelas mengenali siapa penderhaka, maka renungilah beberapa peristiwa yang telah berlaku di negara kita semenjak lebih 30 tahun yang lalu sehingga sekarang.

3. Pada tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang untuk tempoh 2 tahun sahaja.

4. Pada 1983, Umno hendak meminda kuasa Yang diPertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan, maka Umno telah membelasah Raja-raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5. Pada Tahun 1991, dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan. Satu demonstrasi dan menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan.

6. Pada 18 Januari 1993, berlaku pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja dan beberapa siri rapat umum diadakan untuk mengecam Raja-raja Melayu. Disebabkan adanya peruntukan akibat pindaan ini menyebabkan Karpal Singh berani menyatakan untuk menyaman sultan.

7. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim untuk menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato' Annuar Musa.

8. Kenyataan biadab Shahidan Kassim bekas MB Perlis mengatakan "Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti". (BH 11 Jun 1993)

9. Tan Sri Muhammad Mohd Taib telah berkahwin lari dengan Ku Yah (puteri Sultan Selangor) sehingga Sultan Selangor murka.

10. Dua puluh tiga daripada 24 Adun Umno Terengganu mengugut untuk membaikot majlis angkat sumpah Dato' Ahmad Said sebagai MB Terengganu selepas PRU ke 12 pada 2008. Mereka telah membuat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana manakala penyokong mereka menggelarkan Sultan Terengganu sebagai binatang.

11. Shahidan Kassim membaikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai Menteri Besar.

12. Sekarang jelas siapa penderhaka yang sebenar. Mereka (pemimpin Umno) hanya menggunakan istana bila terdesak dan hilang kuasa.