Monday, March 23, 2009

Politik Wang = Rasuah = Barah Umno = Dosa Besar

1. Sebelum ini dilaporkan bahawa lebih 900 aduan telah diterima oleh Lembaga Disiplin Umno mengenai amalan politik wang (rasuah) membabitkan tokoh-tokoh yang akan akan bertanding dalam pemilihan yang akan bermula 24 Mac 2009.

2. Daripada jumlah itu, hanya 29 kes yang telah disiasat, manakala hanya 15 kes yang disabitkan dengan kesalahan.

3. Saya tidak pasti kenapa hanya 29 kes yang disiasat? Apakah kes-kes lain tidak perlu disiasat atau pun terlampau banyak aduan yang diterima menyebabkan Lembaga Disiplin tidak sempat untuk menyiasat kesemua aduan.

4. Jika diambilkira daripada 15 kes yang didapati bersalah, setelah 29 kes yang disiasat, maka secara kasar kita dapati lebih 50 peratus aduan adalah benar. Jika peratusan ini diambilkira, maka sangatlah parah penyakit yang telah menjadi barah di dalam Umno.

5. Kita tidak perlu bahaskan bila penyakit rasuah di dalam Umno ini bermula, samada ada pada zaman Tun Mahathir atau zaman selepasnya atau telah lama sebelum zamannya lagi.

6. Sebelum inipun, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno sendiri pernah mencadangkan supaya sayap-sayap Umno seperti Putera dan Puteri dibubarkan untuk mengurangkan wabak yang semakin menular terutama di kalangan tokoh muda yang tidak sabar dan bernafsu tinggi.

7. A. Kadir Jasin dalam blognya pula menyatakan bahawa sekumpulan cendekiawan Melayu menyarankan supaya mengkhinzirkan amalan rasuah atau politik wang dengan alasan orang Melayu selalunya jijik dan akan menjauhi perkara yang ada kaitan dengan khinzir.

8. Pada pendapat saya, punca sebenar berlakunya amalan politik wang atau dengan lebih jelas amalan rasuah, apabila individu di dalam organisasi itu tidak lagi berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka telah lupa halal haram, dosa pahala, syurga neraka. Mereka ini tidak lagi ikhlas berjuang untuk membela bangsa dan agama, tetapi hanya mementingkan kekuasaan dan kekayaan semata-mata.

9. Jika dibabikan sekalipun, politik wang itu tetap menjadi barah dan meresap di dalam darah daging mereka.

10. Hanya keimanan dan ketakwaan yang mampu mengubat penyakit ini. Apakah pemimpin Umno tergolong di kalangan mereka yang menyeru kepada keimanan dan ketakwaan? Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment