Wednesday, February 24, 2010

Tiba-tiba Pesawat MIG29N Boleh Terbang Semula

1. MIG29N Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) boleh terbang! Sebelumnya, pesawat itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan akan ditamatkan perkhidmatan penghujung tahun ini. Bukan kerana enjinnya hilang atau rosak tetapi kerajaan berkata kos penyelenggaraan RM 260 juta setahun tidak berbaloi ditanggung oleh kerajaan.

2. Pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini untuk menamatkan perkhidmatan pesawat MRCA itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi ketenteraan Russia di negara ini.

3. Akibat desakan pelbagai pihak akhirnya kerajaan 1Malaysia terpaksa akur untuk menggunakan pesawat berkenaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun lagi. Walau bagaimanapun, mengulas isu yang sama, Panglima TUDM berkata hanya 10 pesawat yang dapat beroperasi. Manakala bakinya yang 8 buah lagi tidak akan digunakan. Tak tahulah mungkin dijadikan tukun atau dikitar semula untuk dijual sebagai besi buruk. Polis dan SPRM kena siasat juga, mana lah tahu enjin pesawat itu dah hilang!

4. Bayangkanlah jika rakyat khususnya pimpinan Pakatan Rakyat tidak membangkitkan isu ini berapa banyak lagi duit negara lebur di tengah kegawatan ekonomi. Bagi saya jika betul duit itu 100% digunakan untuk menambah aset ketenteraan baru itu tidak perlu dipertikaikan. Tetapi apa yang mengundang kritikan ialah bayaran komisyen yang tinggi kepada pihak yang tidak sepatutnya yang buat untung atas angin.

Saturday, August 8, 2009

Kekurangan Gula - Mainan Sorok Menyorok Konglomerat

1. Bermula minggu lepas, beberapa buah negeri dan daerah tertentu mula mengalami kekurangan gula. Jika pergi ke beberapa pasaraya besar, pasar mini atau kedai runcit, semuanya hampa, semuanya tiada, sudah habis, stok tak sampai dan macam-macam alasan lagi. Jika dibandingkan 2,3 minggu sebelumnya ataupun 2,3 bulan sebelumnya, bekalan gula memang mencukupi. Mengapa 2,3 minggu ini bekalan gula sudah tidak ada? Adakah kilang gula sudah ditutup? Ataupun sudah tiada lagi ladang-ladang tebu di Malaysia?

2. Jika kita mengimbas kembali, peristiwa bekalan gula tiada di pasaran berlaku saban tahun. Ia berlaku dalam waktu yang sama iaitu bila hampir dengan bulan Ramadhan, dengan musim-musim perayaan di negara ini. Ini kerana permintaan gula adalah tinggi pada waktu-waktu tersebut. Persoalannya, sekarang ni belum bulan puasa lagi, mengapa bekalan sudah tiada di pasaran?

3. Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan sikap kerajaan yang gagal menangani kegiatan sorok bekalan gula. Kegiatan sorok menjadi ugutan serta tekanan terbaik bagi pembekal gula terhadap kerajaan di samping terdapat unsur rasuah yang menambah lagi kejayaan perbuatan tersebut.

4. Malah setiap kali kegiatan sorok gula berlaku maka kerajaan terpaksa memanggil pemborong dan pembekal gula untuk bermesyuarat dan pada kebiasaannya daripada peristiwa dan sejarah lepas peniaga tersebut mendapat laba apa yang mereka mahu.

5. Akhirnya permintaan menaikkan harga gula diluluskan kerajaan. Budaya niaga seperti ini turut ditiru oleh pembekal tepung gandum malah pembekal beras juga turut mengambil kesempatan ketika beras berkurangan di pasaran.

6. Cara niaga seperti ini, akhirnya mendapat kejayaan kepada pembekal. Kerajaan tunduk kepada tekanan peniaga. Sebaliknya dalam soal lain kerajaan tetap keras kepala konon tidak akan tunduk dengan desakan pembangkang walaupun ia keputusan majoriti rakyat.

7. Umpamanya dalam isu Bahasa Melayu dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerajaan dengan bongkak dan sombong mengatakan mereka tidak akan tunduk kepada tekanan walaupun rakyat keluar berdemontrasi di jalan raya.

8. Kenapa pemimpin Umno dan pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan kesombongan dan kebongkokkan tersebut terhadap golongan pembekal yang menekan mereka melalui kegiatan sorok barangan keperluan harian?

9. Sepatutnya ketegasan kerajaan patut ditunjuk sama kepada peniaga tersebut supaya rakyat tidak menghadapi bebanan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang.

10. Sebaliknya itu tidak berlaku, kenapa? Apakah kerajaan BN diselubungi rasuah dengan golongan peniaga sehingga tidak berani menentang desakan tersebut?

11. Rakyat juga tahu Umno dan BN menggunakan banyak wang setiap kali pilihan raya umum dan pilihanraya kecil. Dari mana wang tersebut diperolehi atau mungkin daripada sumbangan konglomerat tersebut yang menguasai pasaran barangan keperluan harian. Sekiranya unsur tersebut benar maka tidak hairan pemerintah BN akan tunduk kepada desakan menaikkan harga barangan keperluan harian.

12. Maka perbuatan menyorok barang seperti gula bukanlah menjadi kehairanan kerana ia ada unsur seolah kerajaan memberi lampu hijau di belakang tabir. Apabila barangan seperti gula tidak ada di pasaran maka sudah tentu kenaikan harga gula yang diluluskan oleh kerajaan boleh menjadi relevan kepada rakyat.

13. Rakyat akhirnya terpaksa menerima dengan alasan kononnya harga gula lebih mahal di negara jiran maka kegiatan penyeludupan gula berleluasa ke negara tersebut. Kalau kerajaan boleh mengarahkan polis menggagalkan demontrasi ISA kenapa tidak ada kerahan bagi menggagalkan penyeludupan?

14. Apa yang nyata ialah kerajaan banyak beralasan demi menjaga kepentingan konglomerat daripada kepentingan rakyat. Umno dan BN tidak sedar ia telah menjadi mainan sorok-menyorok golongan tersebut.

15. Selagi BN memerintah isu sorok gula tidak akan selesai. Lihatlah bagaimana kerajaan PAS Kedah dalam masa tidak sampai setahun berjaya menghapuskan pusat penyembelihan babi haram yang beroperasi semenjak 40 tahun lalu semasa pemerintahan BN lagi.

16. BN memerintah Kedah begitu lama tetapi gagal menyelesaikan masalah yang bertentangan dengan peraturan. Apakah pemerintahan BN itu kerana ada unsur rasuah sehingga pusat penyembelihan itu boleh beroperasi begitu lama tanpa lesen?

17. Begitu juga masalah arak di Selangor walaupun pemerintahan Umno dan BN berjaya membuat peraturan mengharam jualan arak di kawasan majoriti orang Islam tetapi Umno dan BN gagal menguatkuasakannya.

18. Pemerintahan Umno dan BN Selangor tidak berjaya menghalang kedai daripada menjual arak. Sebaliknya di bawah kerajaan pakatan rakyat, Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) berani bertindak berdasarkan peraturan yang ditetapkan mereka.

19. Oleh kerana tindakan rampasan arak oleh PBT di Shah Alam berdasarkan peraturan yang sedia ada maka PAS bersetuju dengan tindakan tersebut. Walaupun PAS bukan majoriti dalam kerajaan Selangor tetapi tindakan tersebut telah memberi kejayaan kepada rakyat demi menjaga sosial masyarakat Islam.

20. Sebaliknya apa yang Umno dan BN boleh buat walaupun ada peraturan atau apakah Umno dan BN hanya takut kepada golongan peniaga lebih daripada rakyat? Atau apakah Umno dan BN banyak diselubungi bayangan rasuah sehingga tunduk kepada perasuah?

21. Maka sampai bila BN akan terus relevan dengan Barang Baik!

Friday, August 7, 2009

Virus H1N1

Apa Itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yg lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia, dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan berjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka Hayat Virus

Oleh kerana ia adalah viurs yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika selepas tempoh tersebut ia itdak mendapat perumah @ host (badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yg baik akan 'bersih' dari virus tersebut.

Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Asal virus ini

Sebenarnya telah terdapat outbrake di US sebelum terjadi outbrake di mexico tetapi tidak dilaporkan kepada WHO. kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'membaling batu sembunyi tangan' lalu tercetuslah outbrake di mexico.

Virologi virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari.
Ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkiti pesakit.
Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat dan selewat-lewatnyanya hari ke 4.
H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang ygan normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Serangan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan.
Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS)
Pada peringkat awal, ia hanya pada 'trakea' jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse'
dan ianya amat merbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Siapa Yang Berisiko

1. Orang yg ada masaalah 'obesiti' @ gemok
2. Perempuan yang mengandung
3. Orang yang ada astmatic
4. Orang-orang yang bermasalah dengan sistem imunisasi (menjalani 'operation yang besar', kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan yang rendah tahap imuniti eg. HIV etc)
* (Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan di atas)


Simptom

Hari Pertama - rasa kurang sihat, tak bermaya
Hari ke 2 - selsema, batuk dan demam yg kekal (demam tidak turun walaupun telah makan ubat demam)
Hari ke 3 - rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Hari ke 4 - sakit dada yg teruk....jumpa doktor dengan segera.......
Hari ke 5 dan seterusnya akan berlaku lung collapse @ koma

Langkah-langkah Kawalan

1. Golongan yang berisiko, elakkan daripada kesesakan (kawasan yang padat dengan orang ramai)

2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3. Elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'

4. Jika kurang sihat, elakan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5. Jika kurang sihat dan ada ILI (influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang-kurangnya 3 ply mask)

6. Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.

7. Jika ada tanda-tanda simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.

9. Tidak perlu mengambil anti-viral @ apa-apa ubat influenza!!!!!!!!!!. jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat-ubat untuk merawat jika terkena jangkitan. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yang telah mengambil ubat-ubat tersebut terlebih awal.

10. Vaksin hanya akan 'wujud' seawal-awalnya pada oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja dan untuk awam selewat-lewatnya pada 2010.

11. Untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di malaysia. Mengambil masa 6 jam untuk run test kepada 1 batch sample. jJka klinik menyatakan mereka boleh menjalankan ujian, itu tidak betul. Tidak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12. Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbreak ini. Sama-samalah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu.
Amin.

(Ini adalah sumber dari taklimat H1N1 oleh Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia di Pan Pasific Klia pada 01 Ogos 2009)

(dipetik dari Telok Bakong Online)

Wednesday, May 13, 2009

Isu Perak: Ulasan Pakar Perundangan (3)

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak boleh terus dibubarkan atas permintaan Menteri Besar Dato Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas tentang tindakan Dato Seri Dr Zambry Kadir membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan pagi 12 Mei lalu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi sehari sebelum itu, mempertegaskan kuasa membubar dewan terletak di tangan sultan dan tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk menghalangnya.

"Tidak ada peruntukan undang-undang untuk membolehkan permohonan injuksi umpamanya," katanya.

Beliau berkata lagi, apa pun yang dilakukan oleh Zambry atau Mahkamah Rayuan, kuasa membubar dewan tidak boleh disekat atau dihalang oleh mahkamah.

"Mahkamah Tinggi telah memberi sedikit laluan semalam (11 Mei) dan terpulang kepada istana untuk memainkan peranan bagi menyelamatkan negeri Perak dari terus dilanda krisis sejak 5 Februari lalu", tambahnya. Aziz berkata melalui pembubaran semua masalah akan selesai.

"Kerajaan yang sah dan tidak was-was dapat dibentuk, istana dapat bebas dari pelbagai tuduhan dan prasangka dan rakyat gembira kerana negeri bebas dari suasana keliru dan tidak menentu," tegas beliau.

Satu-satunya cara menyelesaikan krisis politik Perak yang makin kusut dan mengelirukan ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak supaya rakyat dapat memberi keputusan.

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Tan Sri Abu Talib Othman, Pengerusi Suhakam. Abu Talib adalah bekas Peguam Negara (1988-1994). Selain Abu Talib, Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh juga berpandangan demikian. Semalam, bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga menyeru Sultan Perak membubarkan DUN.

Aziz berkata di dalam keadaan sekarang sultan boleh bertindak membubarkan DUN mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Di bawah peruntukan ini sultan tidak perlukan permohonan dari menteri besar dalam membubarkan DUN. Saya berpendapat di bawah Perkara 36(2) ini sultan boleh menggunakan apa yang dipanggil kuasa simpanan (reserve powers). Ini amat kritikal kerana jika tidak keadaan akan makin runcing dan mengelirukan," tambahnya.

Pakar perlembagaan itu menegaskan kuasa sultan membubar dewan dalam keadaan sekarang tidak bergantung kepada kedudukan Dato Seri Nizar atau Dato Seri Dr Zambry. Aziz tidak bersetuju dengan hujah peguam Zambry yang seolah-olah melihat kuasa sultan membubar DUN terikat atau tergantung kepada kedudukan Zambry.

"Kuasa sultan adalah kuasa budibicara dan tidak tertakluk kepada kepentingan sesiapa. Yang penting di sini ialah suasana dan kestabilan di dalam negeri," kata Aziz lagi.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun menerima hujah peguam Zambry. Profesor UIAM itu berpendapat di sisi undang-undang tidak ada siapa yang boleh menghalang atau memohon injunksi menyekat keputusan sultan membubarkan DUN.

"Sebab itu benar seperti kata ramai penganalisis bahawa bola berada di gelanggang sultan; maksudnya sultan perlu bertindak menyelamatkan negeri dan jangan dibiarkan isu ini berlarutan di mahkamah," tegas Aziz.

Sebelum ini Majlis Peguam, Abu Talib dan Dato Param Cumaraswamy menyebut bahawa mahkamah bukan tempat dan cara untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Isu Perak: Ulasan Peguam (2)

Saya merasa dengan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali yang membenarkan permohonan Datuk Zambry Kadir untuk menggantung perlaksanaan penghakiman YA Hakim Datuk Abdul Aziz semalam yang mengisytiharan Dato Seri Mohamad Nizar sebagai MB negeri Perak yang sah.

Saya tidak nafikan mana-mana pihak yang terkilan dengan mana-mana keputusan seseorang Hakim berhak untuk membuat rayuan.

Namun undang-undang memperuntukkan dibawah Aturan 13 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "sesuatu rayuan tidak boleh menggantung penguatkuasaan sesuatu penghakiman".

Ini bermakna dari segi prinsip perundangan, sesuatu penghakiman itu tidak boleh digantung atau ditahan penguatkuasaannya kecuali pihak yang merayu tersebut boleh membuktikan wujud satu keadaan istimewa di mana jika penghakiman itu dilaksanakan akan menyebabkan rayuan mana-mana pihak akan menjadi hampa (jika rayuannya dibenarkan).

Di dalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi sekadar mengesahkan kedudukan YAB Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar, dan itulah kedudukan beliau sebelum daripada ini.

Jadi tidak timbul keadaan istimewa. Ianya akan jadi keadaan istimewa sekiranya keputusan itu menyebabkan negeri Perak tidak ada MB sehingga rayuan itu didengar dan diputuskan.

Keputusan itu sekadar menyatakan Zambry Kadir bukan Menteri Besar. Menguatkuasakan penghakiman tersebut bermakna beliau perlu mengosongkan pejabat dan rumah Menteri Besar.

Sekiranya rayuan beliau dibenarkan pun ianya tidak membawa apa-apa kerugian kepada beliau. Pejabat dan rumah Menteri Besar tetap ada di situ. Jawatan Menteri Besar tetap wujud dalam negeri Perak. Gajinya pun boleh dibayar semula menggantikan bulan-bulan yang beliau tidak mendapat gaji beliau sebagai MB.

Apa yang saya nampak keadaan istimewa itu hanyalah bagi BN kerana mereka kehilangan kerusi MB. Dan kehilangan kerusi MB bagi BN bukanlah keadaan istimewa seperti yang disyaratkan oleh undang-undang untuk memberikan perintah penggantungan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Apatah lagi Hakim Datuk Ramly dalam perintahnya menyatakan bahawa Zambry Kadir masih lagi MB. Ini adalah merit kes itu sendiri yang mana telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai sebaliknya.

Bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly yang tidak membicarakan kes tersebut dan tidak mendengar saksi dan keterangan boleh menyatakan Zambry Kadir sebagai MB sedangkan Hakim yang membicarakan kes itu iaitu YA Dato Aziz telah memutuskan sebaliknya.

Selanjutnya saya hairan bagaimana Hakim Datuk Ramly boleh membicarakan permohonan Zambry tersebut dengan bersidang seorang diri sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan undang-undang menyatakan di bawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "melainkan dinyatakan sebaliknya, apabila sesuatu permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, ianya HENDAKLAH dibuat di Mahkamah Tinggi dahulu" (sila rujuk juga buku Civil Procedure tulisan Jefrey Pinsler m/s 860).

Bermakna permohonan Zambry sepatutnya difail dan didengar oleh Hakim yang membuat keputusan itu dahulu iaitu YA Dato Aziz. Malahan YA Dato Aziz telah pun mengarahkan peguam Zambry supaya memfailkan permohonannya secara bertulis.

Dan inilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v. Dato Seri Anwar Ibrahim apabila membincangkan isu permohonan penggantungan hukuman penjara terhadap DSAI dahulu sementara menanti rayuan.

Jadi bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly sebagai Hakim Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan membicarakan permohonan penggantungan penghakiman oleh Zambry sebelum YA Dato Aziz mendengar dan membicarakannya!

Saya khuatir keputusan Haim Datuk Ramly akan mengujudkan satu "precedent" baru yang bercanggah dengan semua prinsip dan keputusan Mahkamah-mahkamah sebelum daripada ini.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen
Kulim Bandar Bharu
17 Jamadil Awal 1430

Tuesday, May 12, 2009

Isu Perak: Ulasan Peguam (1)

Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan , Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu. Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-

a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 ( 6 ) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan menteri besar Negeri Perak Darul Ridzuan;
Mahkamah mengisytiharkan jawatan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan (yang dipegang secara sah oleh Nizar) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry (Responden) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.

d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau seperti Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekaligus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Nizar (bukannya Zambry) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut, Nizar juga memohon perintah gantirugi . Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi . Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang (iaitu Nizar). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman (stay of execution of judgment) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini (12 Mei ) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik (special circumstances) yang mewajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman (dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan , Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi , Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman (judicial review) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi . Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Nazri adalah Menteri besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Harga Petrol Naik 20 Sen Seliter

1. Dalam kesibukan melayan isu Perak, mungkin ramai yang tidak perasan bahawa harga minyak Petrol Ron 97 akan naik 20 sen seliter pada 1 September 2009.

2. Berdasarkan laporan yang dipetik daripada Utusan Online, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melancarkan minyak petrol ron 95 hari ini dengan harga RM1.75 seliter bagi menggantikan petrol ron 92 yang digunakan sekarang pada kadar RM1.70 seliter.

3. Dua stesen minyak Petronas di Presint 9 Putrajaya akan mula menjual petrol ron 95 hari ini dan esok dan diikuti negeri-negeri lain secara berperingkat-peringkat.

4. Pada masa ini, harga minyak petrol ron 92 adalah lebih rendah iaitu RM1.70 berbanding ron 97 iaitu RM1.80.

5. Sementara itu, harga minyak petrol ron 97 akan dinaikkan kepada RM2.00 apabila penjualan petrol ron 95 akan mula dikuatkuasakan September ini.

6. Dengan pelancaran minyak ron 95, bermakna pengguna terpaksa membayar RM2.00 seliter iaitu kenaikan yang agak tinggi sebanyak 20 sen seliter bagi mendapatkan minyak petrol gred yang lebih baik (ron 97) berbanding sebelum ini hanya RM1.80 seliter.

Kemelut Politik Perak Belum Berkesudahan

1. Semalam (11 Mei 2009) Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa YAB Datuk Seri Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

2. Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bagi menangguhkan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.

3. Esok khabarnya Datuk Seri Nizar akan menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan perintah penangguhan keputusan itu.

4. Sebelum ini, Datuk Seri Nizar mengambil masa 3 bulan untuk turun naik Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kembali jawatannya yang dirampas secara tidak sah.

5. Datuk Dr Zambry hanya mengambil masa tidak sampai satu hari untuk kembali ke pejabat MB walaupun jawatannya sebagai Menteri Besar masih tidak pernah disahkan oleh mana-mana mahkamah.

6. Dengan keputusan terbaru ini, nampaknya kemelut di Perak belum ada tanda-tanda akan berkesudahan.