Saturday, August 8, 2009

Kekurangan Gula - Mainan Sorok Menyorok Konglomerat

1. Bermula minggu lepas, beberapa buah negeri dan daerah tertentu mula mengalami kekurangan gula. Jika pergi ke beberapa pasaraya besar, pasar mini atau kedai runcit, semuanya hampa, semuanya tiada, sudah habis, stok tak sampai dan macam-macam alasan lagi. Jika dibandingkan 2,3 minggu sebelumnya ataupun 2,3 bulan sebelumnya, bekalan gula memang mencukupi. Mengapa 2,3 minggu ini bekalan gula sudah tidak ada? Adakah kilang gula sudah ditutup? Ataupun sudah tiada lagi ladang-ladang tebu di Malaysia?

2. Jika kita mengimbas kembali, peristiwa bekalan gula tiada di pasaran berlaku saban tahun. Ia berlaku dalam waktu yang sama iaitu bila hampir dengan bulan Ramadhan, dengan musim-musim perayaan di negara ini. Ini kerana permintaan gula adalah tinggi pada waktu-waktu tersebut. Persoalannya, sekarang ni belum bulan puasa lagi, mengapa bekalan sudah tiada di pasaran?

3. Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan sikap kerajaan yang gagal menangani kegiatan sorok bekalan gula. Kegiatan sorok menjadi ugutan serta tekanan terbaik bagi pembekal gula terhadap kerajaan di samping terdapat unsur rasuah yang menambah lagi kejayaan perbuatan tersebut.

4. Malah setiap kali kegiatan sorok gula berlaku maka kerajaan terpaksa memanggil pemborong dan pembekal gula untuk bermesyuarat dan pada kebiasaannya daripada peristiwa dan sejarah lepas peniaga tersebut mendapat laba apa yang mereka mahu.

5. Akhirnya permintaan menaikkan harga gula diluluskan kerajaan. Budaya niaga seperti ini turut ditiru oleh pembekal tepung gandum malah pembekal beras juga turut mengambil kesempatan ketika beras berkurangan di pasaran.

6. Cara niaga seperti ini, akhirnya mendapat kejayaan kepada pembekal. Kerajaan tunduk kepada tekanan peniaga. Sebaliknya dalam soal lain kerajaan tetap keras kepala konon tidak akan tunduk dengan desakan pembangkang walaupun ia keputusan majoriti rakyat.

7. Umpamanya dalam isu Bahasa Melayu dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerajaan dengan bongkak dan sombong mengatakan mereka tidak akan tunduk kepada tekanan walaupun rakyat keluar berdemontrasi di jalan raya.

8. Kenapa pemimpin Umno dan pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan kesombongan dan kebongkokkan tersebut terhadap golongan pembekal yang menekan mereka melalui kegiatan sorok barangan keperluan harian?

9. Sepatutnya ketegasan kerajaan patut ditunjuk sama kepada peniaga tersebut supaya rakyat tidak menghadapi bebanan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang.

10. Sebaliknya itu tidak berlaku, kenapa? Apakah kerajaan BN diselubungi rasuah dengan golongan peniaga sehingga tidak berani menentang desakan tersebut?

11. Rakyat juga tahu Umno dan BN menggunakan banyak wang setiap kali pilihan raya umum dan pilihanraya kecil. Dari mana wang tersebut diperolehi atau mungkin daripada sumbangan konglomerat tersebut yang menguasai pasaran barangan keperluan harian. Sekiranya unsur tersebut benar maka tidak hairan pemerintah BN akan tunduk kepada desakan menaikkan harga barangan keperluan harian.

12. Maka perbuatan menyorok barang seperti gula bukanlah menjadi kehairanan kerana ia ada unsur seolah kerajaan memberi lampu hijau di belakang tabir. Apabila barangan seperti gula tidak ada di pasaran maka sudah tentu kenaikan harga gula yang diluluskan oleh kerajaan boleh menjadi relevan kepada rakyat.

13. Rakyat akhirnya terpaksa menerima dengan alasan kononnya harga gula lebih mahal di negara jiran maka kegiatan penyeludupan gula berleluasa ke negara tersebut. Kalau kerajaan boleh mengarahkan polis menggagalkan demontrasi ISA kenapa tidak ada kerahan bagi menggagalkan penyeludupan?

14. Apa yang nyata ialah kerajaan banyak beralasan demi menjaga kepentingan konglomerat daripada kepentingan rakyat. Umno dan BN tidak sedar ia telah menjadi mainan sorok-menyorok golongan tersebut.

15. Selagi BN memerintah isu sorok gula tidak akan selesai. Lihatlah bagaimana kerajaan PAS Kedah dalam masa tidak sampai setahun berjaya menghapuskan pusat penyembelihan babi haram yang beroperasi semenjak 40 tahun lalu semasa pemerintahan BN lagi.

16. BN memerintah Kedah begitu lama tetapi gagal menyelesaikan masalah yang bertentangan dengan peraturan. Apakah pemerintahan BN itu kerana ada unsur rasuah sehingga pusat penyembelihan itu boleh beroperasi begitu lama tanpa lesen?

17. Begitu juga masalah arak di Selangor walaupun pemerintahan Umno dan BN berjaya membuat peraturan mengharam jualan arak di kawasan majoriti orang Islam tetapi Umno dan BN gagal menguatkuasakannya.

18. Pemerintahan Umno dan BN Selangor tidak berjaya menghalang kedai daripada menjual arak. Sebaliknya di bawah kerajaan pakatan rakyat, Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) berani bertindak berdasarkan peraturan yang ditetapkan mereka.

19. Oleh kerana tindakan rampasan arak oleh PBT di Shah Alam berdasarkan peraturan yang sedia ada maka PAS bersetuju dengan tindakan tersebut. Walaupun PAS bukan majoriti dalam kerajaan Selangor tetapi tindakan tersebut telah memberi kejayaan kepada rakyat demi menjaga sosial masyarakat Islam.

20. Sebaliknya apa yang Umno dan BN boleh buat walaupun ada peraturan atau apakah Umno dan BN hanya takut kepada golongan peniaga lebih daripada rakyat? Atau apakah Umno dan BN banyak diselubungi bayangan rasuah sehingga tunduk kepada perasuah?

21. Maka sampai bila BN akan terus relevan dengan Barang Baik!

No comments:

Post a Comment