Friday, April 24, 2009

Tiada Pemimpin Umno Terengganu Layak Menerajui Umno Terengganu

1. Baru semalam saya mengulas berkenaan tiadanya pemimpin Umno Terengganu yang layak untuk menjadi MB atau memimpin Umno negeri.

2. Hari ini seperti dijangka, PM telah melantik Datuk Seri Hishamuddin untuk menerajui Umno Terengganu.

3. Bila orang Johor yang dilantik menjadi Ketua Perhubungan Umno Terengganu, bermakna Umno Terengganu adalah lemah, tiada pemimpin yang berkaliber untuk memimpin Umno Terengganu.

4. Pemimpin Umno Terengganu dilihat tidak boleh pergi jauh, setakat menjadi Ketua Bahagian sahaja.

5. Sebab itulah juga tiada tambahan dari Terengganu yang menjadi anggota Kabinet Datuk Seri Najib.

6. Berbanding Terengganu, Umno Kelantan lebih beruntung kerana sekurang-kurangnya 2 orang pemimpin Umno Kelantan masih dilantik ke dalam kabinet baru walaupun Kelantan masih lagi kekal diperintah oleh Pas sejak 19 tahun yang lalu.


7. Saya teringat pada masa pemerintahan Pas, bila Pesuruhjaya Hisbah Negeri Terengganu adalah seorang PTD yang pencen dan berasal dari Perak, maka pada masa itu Datuk Rasol (ADUN Ajil) dan Datuk Tengku Putera (ADUN Telemong) telah menghentam kerajaan Pas kerana tidak memilih anak Terengganu sebagai Pesuruhjaya Hisbah.

8. Kini Datuk Rasol dan Datuk Tengku Putera umpama singa dan harimau, tidak boleh bertemu bulu. Apapun alasan, Umno Terengganu kini telah lemah.

Thursday, April 23, 2009

Apa Yang Orang Umno Kata Kepada MB Umno Terengganu

1. Pada 14 April 2009 yang lalu, tiba-tiba kita digemparkan dengan berita 10 ADUN BN Terengganu yang tidak menghadiri sidang DUN dengan alasan keselamatan, walaupun SMS yang dikatakan ancaman bunuh hanya diterima oleh 3 ADUN sahaja.

2. Antara ADUN yang tidak hadir termasuklah ADUN Jertih, Dato' Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar) dan ADUN Ajil, Datuk Rasol Wahid (bekas Exco) yang menentang keras perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar pada Mac 2008.

3. Dengan ketidakhadiran 10 ADUN ini menunjukkan gelombang biru yang pernah dilancarkan oleh Dato' Seri Najib pada tahun 2004 yang lalu di negeri Terengganu (semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri) hampir menenggelamkan bahtera mereka sendiri.

4. Untuk kita memahami kenapa bahtera yang nampak kukuh dan berjaya menenggelamkan gelombang hijau 5 tahun yang lalu tiba-tiba goyah disebabkan gelombang ciptaan sendiri, sama-sama kita renungi beberapa senarai kenyataan orang-orang UMNO sendiri.









5. Kalau MB dulu tidak direstui oleh Sultan atas beberapa sebab, maka MB sekarang juga nampaknya mempunyai masalah tersendiri. Maka siapa lagi ADUN Umno yang layak untuk menerajui kerajaan BN Terengganu dan Umno Terengganu sendiri?

Wednesday, April 8, 2009

Restu Rakyat Memenangkan Pakatan Rakyat

1. PRK semalam, (07 April 09) BN gagal memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. BN Hanya berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai. Kekalahan ini merupakan kekalahan keempat BN selepas PRU ke 12.

2. Pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno telah berlalu lebih seminggu. Peralihan kuasa juga telah berlaku seperti yang diharapkan. Tun Dr Mahathir juga telah kembali ke pangkuan UMNO selepas setahun keluar parti.

3. Datuk Seri Najib yang baru dilantik baru-baru ini terus mengumumkan 3 perkara; Pembebasan 13 tahanan ISA (pernah dilakukan oleh PM terdahulu apabila baru mengambilalih kuasa), tarik balik penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan serta berjanji untuk mengkaji ISA.

4. Lawatan mengejut di 3 kawasan penempatan kaum Melayu, Cina dan India juga telah dilakukan untuk menunjukkan keprihatinan pemimpin baru UMNO dan kerajaan BN.

5. Walau bagaimanapun, rakyat di kedua-dua kawasan pilihanraya nampaknya tidak termakan dengan gula-gula yang ditaburkan oleh pemimpin baru UMNO.

6. BN sejak awal lagi seperti tidak yakin dengan sokongan rakyat di Bukit Gantang terpaksa menggunakan slogan Mohon Restu Rakyat. Setelah kalah, pemimpin mereka memberi alasan calon BN tak sepadan dengan calon Pas, Datuk Seri Nizar. Kalau dah tahu tak sepadan, kenapa diletakkan calon itu. Mungkin BN pun takut untuk meletak calon yang lebih berpengaruh. Kalau calon yang lebih berpengaruh kalah, akan lebih memalukan mereka.

7. Di Bukit Selambau, entah mengapa sehingga 13 calon bebas bertanding menghabiskan wang deposit. Mereka patut tahu, calon bebas sebelum ini dapat memenangi kerusi DUN Bukit Selambau dalam PRU 12 disebabkan rakyat menolak BN, dan kebetulannya hanya calon bebas yang melawan BN, maka rakyat memberi undi kepada calon bebas. Dalam PRK ini, bila ada calon PR yang bertanding, tentulah calon PR yang dipilih walaupun calon BN berjawatan tinggi dalam MIC negeri Kedah.

8. BN hanya berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai yang terletak di pedalaman Sarawak, dengan komposisi penduduknya lebih 90% kaum Iban.

9. Jika dilihat kepada struktur urbanisasi dan komposisi kaum, penduduk di kawasan bandar yang berbilang kaum lebih memihak kepada PR. Mereka tidak lagi mengambil kisah dengan umpan pembangunan yang dijaja oleh BN sejak lebih 50 tahun, kerana semua itu telah dinikmati. Mereka lebih terdedah dengan maklumat dan sentiasa mengikuti isu-isu nasional dan tidak terikat dengan isu-isu tempatan.

10. Walaupun PRK ini bukan menjadi ukuran sebenar pengaruh dan sokongan kepada PR atau BN, tetapi sekurang-kurangnya UMNO dan BN perlu sedar bahawa kemerosotan sokongan terhadap parti mereka belum dapat dipulihkan sehingga kini walaupun beberapa pendekatan telah diambil.