Wednesday, April 8, 2009

Restu Rakyat Memenangkan Pakatan Rakyat

1. PRK semalam, (07 April 09) BN gagal memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. BN Hanya berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai. Kekalahan ini merupakan kekalahan keempat BN selepas PRU ke 12.

2. Pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno telah berlalu lebih seminggu. Peralihan kuasa juga telah berlaku seperti yang diharapkan. Tun Dr Mahathir juga telah kembali ke pangkuan UMNO selepas setahun keluar parti.

3. Datuk Seri Najib yang baru dilantik baru-baru ini terus mengumumkan 3 perkara; Pembebasan 13 tahanan ISA (pernah dilakukan oleh PM terdahulu apabila baru mengambilalih kuasa), tarik balik penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan serta berjanji untuk mengkaji ISA.

4. Lawatan mengejut di 3 kawasan penempatan kaum Melayu, Cina dan India juga telah dilakukan untuk menunjukkan keprihatinan pemimpin baru UMNO dan kerajaan BN.

5. Walau bagaimanapun, rakyat di kedua-dua kawasan pilihanraya nampaknya tidak termakan dengan gula-gula yang ditaburkan oleh pemimpin baru UMNO.

6. BN sejak awal lagi seperti tidak yakin dengan sokongan rakyat di Bukit Gantang terpaksa menggunakan slogan Mohon Restu Rakyat. Setelah kalah, pemimpin mereka memberi alasan calon BN tak sepadan dengan calon Pas, Datuk Seri Nizar. Kalau dah tahu tak sepadan, kenapa diletakkan calon itu. Mungkin BN pun takut untuk meletak calon yang lebih berpengaruh. Kalau calon yang lebih berpengaruh kalah, akan lebih memalukan mereka.

7. Di Bukit Selambau, entah mengapa sehingga 13 calon bebas bertanding menghabiskan wang deposit. Mereka patut tahu, calon bebas sebelum ini dapat memenangi kerusi DUN Bukit Selambau dalam PRU 12 disebabkan rakyat menolak BN, dan kebetulannya hanya calon bebas yang melawan BN, maka rakyat memberi undi kepada calon bebas. Dalam PRK ini, bila ada calon PR yang bertanding, tentulah calon PR yang dipilih walaupun calon BN berjawatan tinggi dalam MIC negeri Kedah.

8. BN hanya berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai yang terletak di pedalaman Sarawak, dengan komposisi penduduknya lebih 90% kaum Iban.

9. Jika dilihat kepada struktur urbanisasi dan komposisi kaum, penduduk di kawasan bandar yang berbilang kaum lebih memihak kepada PR. Mereka tidak lagi mengambil kisah dengan umpan pembangunan yang dijaja oleh BN sejak lebih 50 tahun, kerana semua itu telah dinikmati. Mereka lebih terdedah dengan maklumat dan sentiasa mengikuti isu-isu nasional dan tidak terikat dengan isu-isu tempatan.

10. Walaupun PRK ini bukan menjadi ukuran sebenar pengaruh dan sokongan kepada PR atau BN, tetapi sekurang-kurangnya UMNO dan BN perlu sedar bahawa kemerosotan sokongan terhadap parti mereka belum dapat dipulihkan sehingga kini walaupun beberapa pendekatan telah diambil.

No comments:

Post a Comment